Friday, May 9, 2014

MANFAATKAN SYA'ABAN SEBAGAI PERSIAPAN RAMADHAN

Bulan Syaaban adalah antara bulan-bulan yang mulia di sisi Allah swt. Ia adalah bulan yang membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya. Justeru, Baginda Rasulullah saw banyak berpuasa sunat dalam bulan yang mulia ini di samping menggalakkan umat Islam melipatgandakan amal ibadat. Ini kerana Nabi kita Muhammad saw meningkatkan amal ibadatnya kepada Allah swt pada bulan yang agung ini.

Namun, Rasulullah pernah menegaskan bahawa kedatangan bulan syaaban tidak begitu diraikan dan disambut dengan penuh kesyukuran, ramai Muslim yang begitu leka, lalai dan alpa dalam merebut ganjaran dan kelebihan yang Allah sediakan sepanjang bulan Syaaban ini. Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat sebanyak mungkin seperti mana mereka bersungguh-sungguh meluangkan masa untuk beribadat kepada Allah swt pada bulan Ramadan. Ini kerana adat Jahiliyah dahulu orang Mekah lebih mengutamakan dan memuliakan bulan Rejab dan melupakan bulan Syaaban.

Sehubungan itu, Usamah bin Zaid ra berkata: Aku bertanya Rasulullah tentang bulan Syaaban kerana aku tidak pernah lihat baginda banyak berpuasa sunat sebagaimana beliau berpuasa dalam bulan Syaaban. Baginda menjawab: Bulan yang banyak manusia yang lalai dan padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada bulan Syaaban akan diangkatkan segala catatan amalan hamba kepada Allah swt. Dengan itu aku amatlah suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa. (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’i)

Maksud hadis di atas jelas menunjukkan bahawa segala amal ibadat setiap Muslim sebenarnya diangkat oleh malaikat pada tiap-tiap hari manakala amal ibadat bulan Syaaban ini bolehlah dikatakan sebagai laporan tahunan yang disediakan oleh malaikat untuk dibawa ke hadrat Allah Yang Maha Besar. Setiap Muslim sewajibnya menginsafi bahawa segala gerak geri, tindakan, perkataan, lintasan niat di hati dan sebagainya akan dicatatkan oleh malaikat tidak kira sama ada yang besar mahu pun yang kecil.

Hal ini amat jelas melalui firman Allah taala yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Surah Qaf, ayat 16 – 18)

Oleh itu, setiap Muslim seharusnya menyedari dan menginsafi betapa ketatnya pengawasan Ilahi terhadap sekalian makhluk-Nya. Maka, dengan menginsafi pengawasan yang datang daripada pihak malaikat iaitu Malaikat ‘Atid dan Raqib di samping pengawasan secara langsung daripada Allah taala, mudah-mudahan manusia akan mempunyai deria rasa kesedaran dan keinsafan yang mendalam untuk menghentikan dan mengakhiri segala amalan keburukan yang dilakukannya dari satu segi dan juga memiliki dorongan dan semangat untuk melaksanakan berbagai amalan kebajikan dan amalan salih yang dianjurkan Islam dari satu segi yang lain .

Oleh kerana Rasulullah merupakan contoh teladan umat Islam dalam segala lapangan hidup, maka mereka digalakkan banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban sebagaimana berpuasanya Rasulullah pada bulan tersebut. Ini kerana selepas Syaaban akan dituruti pula oleh bulan Ramadan yang diwajibkan kepada umat Islam berpuasa keseluruhannya. Dengan itu puasa pada bulan Syaaban merupakan perintis dan latihan untuk membiasakan diri bagi menunaikan kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadan sepenuhnya. Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sudah tentu kuranglah terasa kepenatan dan tidak pula terkejut serta merasa berat hati untuk berpuasa dalam Ramadan nanti.

Selanjutnya, terdapat banyak hadis yang memberi perangsang kepada umat Islam supaya mengikuti sunah Rasulullah saw. Di antaranya, Saidatina ‘Aisyah pernah meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa sebulan sepenuhnya kecuali bulan Ramadan, beliau juga tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa hampir sebulan penuh melainkan bulan Syaaban. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Saidatina Aishah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berpuasa bulan Syaaban kesemuanya. (Hadis riwayat Bukhari)

Saidatina Ummu Salmah pula berkata: ”Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali bulan Syaaban dan Ramadan. (Hadis riwayat Nasa’i)

Berdasarkan himpunan hadis di atas dapat disimpulkan bahawa Islam menggalakkan umatnya supaya melaksanakan ibadat puasa sunat dalam bulan Syaaban. Lebih-lebih lagi ibadat puasa adalah suatu ibadat yang sangat dituntut dilakukan dalam bulan Syaaban. Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai gerbang Ramadan, bulan ini sudah tentu akan melatih Muslim berpuasa menjelang ketibaan ujian yang berat di bulan Ramadan nanti. Justeru, ada kalangan ulama berpendapat puasa di bulan ini disifatkan yang paling afdal atau baik selepas daripada berpuasa di bulan Ramadan.

Berkenaan dengan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban pula kita boleh dapati melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya, daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Nabi saw bersabda yang maksudnya: Allah swt melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hambanya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang berzina.

Dalam hadis yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud: Allah swt memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah. (Hadis riwayat Ahmad)

Demikianlah antara himpunan hadis yang menggambarkan secara umum kepada kita berkenaan kelebihan bulan Syaaban yang sungguh istimewa ini. Oleh itu, amal ibadat mesti dilipat gandakan sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah yang memperbanyakkan puasa sunat. Yang paling utama sekali, setiap Muslim sewajarnya merebut peluang keemasan yang terhampar pada bulan Syaaban untuk meraih keampunan dan keredaan Ilahi kerana terdapat hadis yang menyatakan bahawa Allah swt sedia memberi keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat pada sepanjang bulan Syaaban yang penuh rahmat tersebut.

No comments:

Post a Comment