Sunday, May 11, 2014

HATI-HATI DENGAN LISAN

Lisan, kata Al-Ghazali, merupakan kenikmatan besar yang dianugerahkan kepada manusia. Dengan lisan, manusia boleh berbicara sehingga mampu berkomunikasi dengan lancar dengan sesamanya. Dengan lisan juga seseorang boleh dibezakan apakah ia Muslim atau bukan Muslim. Pengucapan syahadah (dengan memahami makna dan rukunnya) adalah buktinya.

Menurut Al-Ghazali, seseorang yang meyakini ajaran Islam tetapi tidak mengucapkan syahadah, maka ia belumlah dikatakan Muslim.

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, perbuatan apakah yang menjagaku daripada kebinasaan?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Berimanlah kamu kepada Allah s.w.t dan beristiqamahlah dalam memegang ajaran-Nya.”

Kemudian sahabat tersebut bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, perilaku apakah yang engkau khuatirkan atas diriku?” Rasulullah s.a.w memberikan jawapan dengan mengisyaratkan pada lisannya. Lisan memang mempunyai peranan yang amat menentukan dalam kehidupan. Perang dan damai, persahabatan dan permusuhan, serta hal-hal lainnya yang menyangkut nasib hidup dapat berawal daripada lisan.

Al-Quran dan hadis telah memberi petunjuk supaya dalam pelaksanaan ibadah dan muamalah, kita sentiasa menjaga lisan, baik dari sikap riak mahupun mengeluarkan perkataan yang menyakiti orang lain.

Allah s.w.t berfirman,yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang-orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia.” (al-Baqarah: 264)

Demikian halnya dalam bermuamalah, baik kepada orang tua mahupun kepada sesamanya, sebagaimana arahan Lukman kepada anak-anaknya yang terpapar di dalam surah Lukman, ayat 19 yang bermaksud:

“Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai.”

Dalam sebuah hadis dikisahkan, ada seseorang yang selalu berbuat baik dan gemar bersedekah. Tetapi di akhir hayatnya, ia menerima kebinasaan disebabkan selalu bangga dengan amalnya dan menyakiti saudara yang telah ditolongnya.

Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa menjaga lisan adalah salah satu tanda seseorang yang taat kepada Allah s.w.t dan beriman kepada hari akhirat.

Baginda bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat, maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain dijelaskan bahawa tanda-tanda orang munafik adalah sentiasa mungkir janji dengan tidak menepati janji yang ia ucapkan. Demikianlah peranan lisan. Ia boleh bermanfaat, namun boleh pula menimbulkan malapetaka.

No comments:

Post a Comment