Wednesday, May 7, 2014

Kurafat Di Tanah Air Sebelum Ke Tanah Suci Dan Kurafat Di Tanah Suci

KURAFAT DI TANAH AIR SEBELUM TIBA DI TANAH SUCI

* Tidak boleh memijak bendul rumah, kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.

* Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh pandang kembali melihat rumah, kalau dipandang pekerjaan hajinya tidak sempurna, kerana hatinya teringat-ingat ke rumah.

* Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.

* Setelah balik nanti mesti berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut sebagai ibadah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati. Kalau melanggar sia-sialah haji.

KURAFAT DI TANAH SUCI

* Mesti mencari tiang jin di dalam Masjidil Haram, peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.

* Boleh menghadap toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara mengadap tiang jin tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.

* Jin yang dibawa balik dari Makkah adalah jin yang baik.

* Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapatkan jodoh dan memurahkan rezeki.

* Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik dengan tujuan jika dicampak ke dalam kolam ikan maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman maka buah-buah akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai maka akan laris.

* Mencuri tali-tali khemah di padang Arafah untuk dijadikan tangkal bagi tujuan pelaris untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.

* Membawa balik tanah Arafah untuk upacara memijak tanah, buat pertama kali bagi bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.

* Tidak boleh melihat cermin semasa dalam ihram. Jika dilihat muka akan menjadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.

* Menyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.

* Mengetuk pintu Masjid dan gelang kuncinya di kawasan sai’e sebagai simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuat rezekinya tertutup buat selama-lamanya.

* Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikapankan dengan kain itu bagi menghindari diri dari siksaan kubur.

* Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kapan dan basuh dahulu dengan air zam-zam di Makkah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kapan dengannya. Mungkar Nangkir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut

* Kalau berlaku hujan maka mandilah di bawah curahan air dari pancuran emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.

* Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan sekiranya ada orang yang menawarkannya maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjadikan masuk syurga.

* Mandi bertelanjang di telaga Jakranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh bagi yang belum bersuami. Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.

No comments:

Post a Comment